KULIM SCOUT

Kepengakapan Untuk Semua

KULIM SCOUT header image 2

Koleksi Berita Pengakap

October 11th, 2008 by admin

Khidmat radio amatur badan beruniform sekolah
MUAR 20 Mei – Semua pertubuhan beruniform sekolah dipelawa menyertai Jambori di Udara (Jota) yang kini mula memperkenalkan konsep radio amatur iaitu sistem perhubungan secara lebih meluas kepada pelajar yang menyertai perkhemahan tersebut.

Jika dahulu, Jota hanya terbuka kepada Persatuan Pengakap tetapi kini semua pertubuhan beruniform lain seperti Kadet Polis, Pandu Puteri, Persatuan Bulan Sabit Merah dan Puteri Islam boleh menyertainya dan menggunakan kemudahan perhubungan radio amatur itu.

Tenaga pengajar Kelab Radio Amatur, Ramlah Rabu berkata, buat pertama kali dalam sejarah, teknik penggunaan radio amatur itu diperkenalkan kepada 114 pelajar sekolah yang menyertai Jota 2008 di Sekolah Menengah Kebangsaan Datuk Amar Diraja, di sini baru-baru ini.

“Melalui Jota 2008 yang diadakan di Muar kali ini, semua peserta berpeluang berhubung dengan pengguna di seluruh dunia dan dalam negara.

“Kami berharap lebih banyak sekolah akan menyertai Jota pada masa akan datang kerana peserta didedahkan dengan pengalaman baru menggunakan radio untuk berkomunikasi sesama mereka,” katanya ketika ditemui, di sini hari ini.
http://www.utusan.com.my/utusan/arkib.asp?y=2008&dt=0521&pub=utusan_malaysia&sec=johor&pg=wj_06.htm&arc=hive
………………………………………………………………………………..
900 pengakap berhimpun
PARIT 23 April - Seramai 900 pengakap kanak-kanak seluruh negeri Perak akan menyertai Perkemahan Pengakap Anugerah Rambo Peringkat Kanak-Kanak Negeri Perak di Kem Kota Blanja Kiri, Bota bermula 25 hingga 27 April ini.

Perkhemahan tahunan ini merupakan anjuran Jabatan Pendidikan Negeri bersama Persatuan Pengakap Negeri Perak.

Pesuruhjaya Pengakap Daerah Perak Tengah merangkap Urus setia Program, Yaman Abd. Rani berkata, perkhemahan itu bertujuan bagi memberi peluang kepada pengakap kanak-kanak untuk mendapatkan anugerah tertinggi bagi kategori umur mereka.

Katanya, mereka perlu diberikan pendedahan asas secukupnya sebelum menyertai pengakap kelana yang akan dipelajari semasa di sekolah menengah.

Menurut beliau, selain itu, perkhemahan tersebut bertujuan untuk menghimpunkan seluruh pengakap kanak-kanak di negeri berkenaan bagi mengeratkan perpaduan di antara mereka.

”Di samping itu, kita akan mengaplikasikan segala ilmu pengakap yang telah dipelajari di sekolah untuk dilaksanakan semasa perkhemahan itu,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Katanya lagi, program itu juga untuk merapatkan perpaduan kaum di samping mewujudkan integrasi kanak-kanak dan pemimpin pengakap di peringkat negeri.

Yaman berkata, pelbagai acara akan dijalankan antaranya malam kebudayaan, ujian teori, ikatan, kawad kaki, temuduga dan kecergasan sepanjang program.

”Kesemua peserta akan berpeluang untuk menunjukkan bakat dan menyelesaikan segala ujian yang dikemukakan sekali gus berjaya meraih anugerah.

”Kita juga berharap mereka yang berjaya supaya terus aktif dalam persatuan pengakap sama ada di peringkat sekolah atau peringkat daerah,” katanya.

Beliau menambah, program itu akan dirasmikan oleh Pengarah Pelajaran Negeri Perak, Husaain Harun.

………………………………………………………………………………..

Undi tidak percaya terhadap Ketua Pengakap Negara
KUALA LUMPUR 22 Mac - Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) yang mempunyai lebih 200,000 ahli bergolak apabila Ketua Pengakap Negara, Datuk Seri Dr. Shafie Salleh menerima undi tidak percaya daripada lapan penolong ketua pesuruhjaya pengakap dan 17 pesuruhjaya negeri.

Undi itu dibuat pada 3 Februari lalu, selepas mereka tidak berpuas hati dengan tindakan Shafie yang didakwa menyalahgunakan kuasa apabila melantik tiga orang Timbalan Ketua Pesuruhjaya Pengakap sedangkan jawatan itu tidak diperuntukkan dalam Perlembagaan PPM.

Ketua Pesuruhjaya Pengakap, Profesor Datuk Kamarudin Kachar berkata, pihaknya telah menasihatkan Shafie mengenai perkara itu namun ia tidak dipedulikan.

“Kami tidak faham kenapa dia melantik tiga Timbalan Ketua Pesuruhjaya kerana pelantikan semua pesuruhjaya adalah dalam bidang tugas saya.

“Beliau langsung tidak berbincang dan berunding, perkara ini tidak pernah berlaku sebelum ini,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Shafie yang merupakan bekas Menteri Pengajian Tinggi dilantik sebagai Ketua Pengakap Negara pada Disember 2005.

Kamarudin mendakwa, lebih memburukkan keadaan, Shafie bagaikan membalas dendam terhadap pihak yang membuat undi tidak percaya apabila menggantung serta-merta tujuh pesuruhjaya pengakap kanan termasuk dirinya pada Isnin lalu.

Beliau bagaimanapun, berpendirian penggantungan itu tidak sah kerana ia di luar bidang kuasa Shafie.

“Kami sedih kerana beliau tidak menyatakan sebab pengantungan selain tidak memberi peluang untuk membuat penjelasan.

“Penggantungan sebegini tidak pernah berlaku dalam sejarah 100 tahun penubuhan pengakap. Kami merayu campur tangan kerajaan untuk tindakan seterusnya dan meminta Shafie berundur kerana tindakannya telah menjejaskan perpaduan pengakap,” katanya.
………………………………………………………………………………..

Abdullah terima dua anugerah tertinggi Indonesia
JAKARTA 21 Feb. – Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba di sini tengah hari ini bagi lawatan kerja dua hari termasuk menerima anugerah tertinggi Indonesia untuk pemimpin luar dan anugerah tertinggi pergerakan pramuka, iaitu pengakap Indonesia.

Anugerah tertinggi daripada pemerintah Indonesia itu, Bintang Republik Indonesia Adi Pradana merupakan anugerah tertinggi yang pertama kali diberikan kepada Perdana Menteri Malaysia.

Begitu juga anugerah pramuka Lencana Tunas Kencana yang merupakan yang tertinggi pernah diberikan kepada tokoh yang banyak berjasa kepada pergerakan pengakap.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abidin Mohamed Zain berkata, Presiden Indonesia Susilo Bambang Yudhoyono akan menyampaikan bintang Adi Pradana kepada Perdana Menteri pada satu majlis di Istana Merdeka di sini pagi esok.

“Bintang tertinggi ini belum pernah diberikan kepada mana-mana pun Perdana Menteri Malaysia sebelum ini… yang menerima (ialah) penganugerahan lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata, sebelum majlis penganugerahan itu, Abdullah akan melakukan kunjungan hormat ke atas Susilo di Istana Merdeka.

Selepas majlis itu, Abdullah akan ke Dewan Persidangan Birawara di Jalan Gatot Subroto di sini untuk menerima Lencana Tunas Kencana, yang akan turut dihadiri para pemimpin pengakap Malaysia dan pramuka Indonesia.

Sementara itu, Abdullah ketika berucap pada majlis pada majlis jamuan malam Pengakap Kelana Indonesia bersama Perdana Menteri, malam ini berkata, kerjasama Pengakap Malaysia dan Pramuka Indonesia telah memberi makna lebih mendalam dan memperkukuhkan lagi hubungan antara rakyat sempena 50 tahun terjalinnya hubungan diplomatik kedua-dua negara.

Menurut Perdana Menteri, beliau gembira pergerakan Pengakap dan Pramuka kini menjadi jambatan meningkatkan lagi hubungan sesama rakyat yang telah menjalin hubungan diplomat sebaik sahaja Malaysia mencapai kemerdekaan.

“Jambatan ini ialah jambatan persahabatan yang diwujudkan oleh Pengakap dan Pramuka,’’ katanya disambut tepukan gemuruh lebih 300 anggota pengakap.

Pada majlis itu, Abdullah yang juga Presiden Agung Pengakap Malaysia merasmikan penubuhan Pengakap
……………………………………………………………………………….
PM tiba di Jakarta untuk terima dua anugerah tertinggi Indonesia
JAKARTA 21 Feb. — Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi tiba di sini tengah hari ini untuk lawatan kerja dua hari termasuk menerima anugerah tertinggi Indonesia untuk pemimpin luar dan anugerah tertinggi pergerakan Pramuka, iaitu pengakap Indonesia.

Anugerah tertinggi daripada pemerintah Indonesia itu, Bintang Republik Indonesia Adi Pradana merupakan anugerah tertinggi yang pertama kali diberikan kepada Perdana Menteri Malaysia.

Begitu juga anugerah pramuka Lencana Tunas Kencana, yang merupakan yang tertinggi pernah diberikan kepada tokoh yang banyak berjasa kepada pergerakan pengakap.

Duta Besar Malaysia di Indonesia, Datuk Zainal Abidin Mohamed Zain berkata, Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono akan menyampaikan bintang Adi Pradana kepada Perdana Menteri pada satu majlis di Istana Merdeka di sini pagi esok.

“Bintang tertinggi ini belum pernah diberikan kepada mana-mana pun perdana menteri Malaysia sebelum ini… yang menerima (ialah) penganugerahan lain,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zainal Abidin berkata, sebelum majlis penganugerahan itu, Abdullah akan melakukan kunjungan hormat ke atas Susilo di Istana Merdeka.

Kedua-dua pemimpin kemudiannya dijadual mengadakan sidang media bersama.

Selepas majlis itu, Abdullah akan ke Dewan Persidangan Birawara di Jalan Gatot Subroto di sini untuk menerima Lencana Tunas Kencana, yang akan turut dihadiri para pemimpin pengakap Malaysia dan pramuka Indonesia.

Presiden Susilo, yang sebelum ini dianugerahkan bintang tertinggi Pengakap Malaysia, akan turut berangkat ke majlis penganugerahan itu dan menyampaikan ucapan.

Abdullah juga dijadual menyampaikan ucapan pada majlis itu, yang menurut Ketua Pramuka Indonesia, Prof. Dr. Azrul Azwar sebagai majlis yang sangat bersejarah dan akan memperkukuh lagi hubungan dan kegiatan bersama pengakap kedua-dua negara.

Pada majlis itu, pengakap Malaysia akan diketuai Ketua Pengakap Malaysia, Datuk Seri Dr Shafie Mohd Salleh dan pramuka Indonesia oleh Azwar.

Malam ini Perdana Menteri akan diraikan pada jamuan malam oleh pengakap di hotel penginapannya di sini. - Bernama
………………………………………………………………………………..
100,000 pengakap di pusat banjir
MELAKA 23 Dis. – Lebih 100,000 ahli pengakap di seluruh negara ditugaskan untuk membantu mangsa banjir di negeri-negeri yang dilanda bencana alam itu, kata Ketua Pengakap Negara, Datuk Dr. Shafie Salleh.

Mereka ditugaskan untuk membantu mangsa banjir dalam hal yang berkaitan dengan logistik, katanya di Lapangan Terbang Batu Berendam di sini hari ini.
……………………………………………………………………………….
Mat rempit diajak sertai pengakap banteras gejala sosial
MELAKA 20 Nov. – Seorang pengakap veteran, Abu Bakar Mohamed, 78, mengajak golongan muda khususnya mat rempit supaya menyertai pasukan pengakap dalam usaha membantu kerajaan menangani gejala sosial di negara ini.

Menurutnya, penyertaan dalam pasukan pengakap dapat membina sahsiah yang baik dalam diri golongan muda sekali gus mengelakkan mereka daripada mudah terpengaruh dengan gejala negatif seperti lumba haram.

Katanya, pasukan pengakap sentiasa menggalakkan pengembangan budaya dan nilai-nilai murni di kalangan ahlinya dengan mengajak mereka untuk menjadi seorang yang berdisiplin, semangat berpasukan dan memupuk perasaan kasih sayang antara satu sama lain.

Dengan semangat ingin berbakti dan perasaan kasih sayang itulah jelas Abu Bakar, beliau masih aktif dalam pasukan pengakap walaupun telah lanjut usia dan lumpuh sejak tahun 1992.

“Selama menyertai pasukan pengakap iaitu sejak tahun 1946 di Sekolah Tinggi Segamat, Johor, saya tidak pernah menyesal, sebaliknya berbangga menjadi ahli pasukan ini.

‘‘Banyak aktiviti yang diadakan menerusi pasukan ini termasuk dalam memberi bantuan, sumbangan dan khidmat bakti kepada masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penganugerahan Bintang dan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia peringkat kebangsaan di Dewan Seri Negeri di sini, hari ini.
………………………………………………………………………………

Pengakap mesti ada sikap kasih sayang – PM
Oleh ROSNI HASSAN dan AZMAN IBRAHIM

MELAKA 20 Nov. – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, untuk menjadi ahli pengakap terbaik dan bersedia membantu orang yang memerlukan bantuan, mereka mesti mempunyai perasaan kasih sayang dan semangat untuk berkhidmat dengan rela hati.

Beliau yang juga Presiden Agung Kehormat Persekutuan Pengakap Malaysia berkata, kasih sayang adalah perasaan yang sangat baik malah ia diutamakan dalam ajaran agama, justeru ia wajar tersemat dalam jiwa setiap ahli pengakap.

‘‘Kita perlu menghayati nilai kasih sayang, jika ada nilai kasih sayang, insya-Allah perpaduan sesama kita dan dalam masyarakat juga akan teguh.

‘‘Perasaan ini tidak mengenal batasan agama dan bangsa,” katanya ketika berucap pada Majlis Penganugerahan Bintang dan Pingat Persekutuan Pengakap Malaysia peringkat kebangsaan di Dewan Seri Negeri di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, seramai 302 orang tokoh, pemimpin pengakap dan orang perseorangan yang telah memberi khidmat terbaik secara berterusan dalam pembangunan pengakap di negara ini, dianugerahkan bintang dan pingat.

Seramai lima orang dianugerahkan Bintang Semangat Padi Kelas Pertama (Emas) iaitu bintang tertinggi dalam pengakap.

Mereka ialah Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Kol. Profesor Datuk Kamarudin Kachar, Pesuruhjaya Latihan Negara, Yeoh Seng Choon, bekas Ketua Pesuruhjaya Pengakap Negara, Datuk Hamidin Abdullah dan bekas Naib Yang Dipertua Majlis Pengakap Malaysia, Tan Sri Elyas Omar.

Najib dan Elyas akan menerima anugerah masing-masing pada satu majlis yang ditetapkan kemudian.

Abdullah berkata, dengan adanya perasaan kasih sayang itu, pengakap akan dapat menunjukkan erti kasih sayang serta sikap rela hati untuk membantu penduduk berbilang kaum di negara ini.

Beliau menambah, jika perasaan itu menjadi pegangan ahli pengakap, ia dapat mendorong mereka untuk berkhidmat dan membantu masyarakat yang memerlukan bantuan.

‘‘Jika ini menjadi nilai pegangan kita, jika ini juga menjadi pendorong yang kuat bagi kita setiap hari apabila kita melaksanakan kerja bukan sahaja semasa memakai uniform pengakap tetapi bila-bila masa tanpa uniform pengakap tetap jiwa pengakap dan bangsa, kita akan menjadi bangsa yang bersatu padu,” katanya.

Perdana Menteri menarik perhatian, beliau memahami perasaan serta tugas ahli pengakap kerana beliau juga pernah menjadi ahli pengakap.

Sehubungan itu beliau mengingatkan mereka bahawa pingat dan bintang yang diterima hari ini bukan sekadar hiasan di dada untuk nampak lebih segak dan elok.

Sebaliknya jelas Abdullah, penghargaan yang diterima itu mempunyai falsafah di sebaliknya dengan pingat dan bintang diberi atas penghargaan kepada semua pengakap yang telah menunjukkan kecemerlangan.

‘‘Pengakap mengutamakan pembentukan sahsiah dan peribadi mulia, mengutamakan keinginan membina semangat bekerja untuk negara, bangsa dan rakyat dengan penuh kefahaman bahawa apa yang dilakukan itu semata-mata berasaskan sukarela,” katanya.

Sejajar itu, kata beliau, apabila ada masa tertentu yang memerlukan bantuan dan kerjasama badan bukan kerajaan, pengakap tidak pernah ketinggalan untuk menghulurkan khidmat.
……………………………………………………………………………….

Abdullah, Susilo terima Semangat Padi Emas
KUALA LUMPUR 5 Ogos – Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono malam ini dikurniakan Anugerah Tertinggi Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) Semangat Padi Emas (Emas) oleh Persekutuan Pengakap Malaysia.

Anugerah tersebut bagi mengiktiraf sumbangan kedua-dua pemimpin itu dalam pembangunan pengakap negara masing-masing dan di peringkat antarabangsa serta hubungan persaudaraan antara Malaysia dan Indonesia.

Abdullah merupakan Presiden Agung Kehormat Persekutuan Pengakap Malaysia manakala Susilo merangkap Ketua Majelis Pembimbing Nasional Gerakan Pramuka Indonesia.

Pada majlis itu juga dua tokoh pengakap turut menerima Bintang Semangat Rimba Kelas Pertama (Emas) iaitu Ketua Pesuruhjaya Gerakan Pramuka Indonesia, Prof. Dr. Azrul Aswar dan Bendahari Kehormat Persekutuan Pengakap Malaysia, Datuk Kaharudin Mo’min.

Di samping itu Duta Malaysia ke Indonesia, Datuk Zainal Abidin Zain pula menerima Bintang Semangat Rimba Kelas Kedua (Perak).

Dalam ucapannya, Abdullah mahu semua pengakap berpegang kepada falsafah bersama iaitu tolong menolong, bersepakat dan serta menginginkan dunia aman dan selamat.

“Kita perlu menyemai semangat ini, cintakan keamanan, menolak permusuhan, mahu yang baik dan menangkis yang tidak baik serta sentiasa berbakti kepada masyarakat.

“Justeru saya berharap semua pemimpin pengakap berusaha bersungguh-sungguh supaya kegiatan yang dirancang mencapai mutu yang terbaik bagi membina sahsiah anggota masyarakat serta memastikan kesejahteraan rakyat,’’ katanya pada Majlis Jamuan Makan Malam Perdana sempena sambutan 100 Tahun Pengakap di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini.

Beliau juga berharap hubungan pengakap dan pramuka menjadi satu kekuatan persaudaraan sesama serumpun bangsa.

“Saya yakin ini juga merupakan impian Presiden Indonesia,’’ jelasnya.

Perdana Menteri juga menganggap aktiviti pengakap adalah satu bentuk untuk membina sahsiah diri dan modal insan.

“Sebab itu semasa saya menjadi Menteri Pelajaran, saya telah membuat satu dasar supaya kegiatan kokurikulum termasuk pengakap dan Persatuan Bulan Sabit Merah diwajibkan kepada pelajar.

‘’Ini kerana saya berpegang kuat bahawa kegiatan kokurikulum juga penting selain ilmu pengetahuan bagi menjadikan generasi muda berguna di kemudian kelak.

“Sebab itu juga saya berharap semua pelajar menganggotai sebarang kegiatan yang ada seperti persatuan pengakap,’’ katanya.

Sementara itu, Susilo yakin melalui persatuan pengakap boleh menerapkan semangat nasionalisme dan melatih disiplin bukan sahaja di peringkat sekolah malah masyarakat keseluruhan.

“Mengenai anugerah tersebut, ini merupakan satu penghormatan kerana turut menerima bersama dengan Perdana Menteri,’’ katanya.
……………………………………………………………………………….

Pingat Hang Tuah untuk Muhammad Firdaus
Oleh SITI ZALEHA JORIMAI

MUHAMMAD FIRDAUS bersama pemenang Anugerah Tunas Jaya Kebangsaan, Abdul Rauf Suhaimi (kanan) dan Wan Nurul Suhaila Wan Ahmad Nasri (kiri).
——————————————————————————–

“SAYA memang tak pandai berenang, tapi masa itu saya tak terfikir tentang keselamatan saya. Apa yang saya fikir nak selamatkan budak tu,” kata Muhammad Firdaus Harris, 13, bercerita mengenai keberaniannya menyelamatkan seorang kanak-kanak berusia empat tahun daripada mati lemas tahun lalu.

Sambil berpaut pada besi, dia menggunakan segala kudrat daripada tubuh kecilnya untuk mencapai dan menarik rambut Muhammad Azri Shah Shamsul Kamal yang ketika itu sudah tenggelam hampir ke dasar kolam renang sedalam sembilan kaki.

Tindakan pantas mengikut gerak hati itu bukan saja berjaya menyelamatkan nyawa kanak-kanak malang tersebut, malah keberanian Muhammad Firdaus dibalas dengan anugerah yang membanggakan.

Peristiwa mendebarkan tersebut berakhir dengan kenangan cukup manis apabila pada Sabtu lalu bertempat di Pusat Perdagangan Antarabangsa Melaka (MITC) di Air Keroh, Melaka, pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Pusu, Gombak, Selangor itu dikalungkan dengan Pingat Hang Tuah.

Lebih istimewa apabila Muhammad Firdaus ialah kanak-kanak pertama menerima pingat itu yang menjadi lambang keberanian bagi kanak-kanak Malaysia selepas ia dihentikan kira-kira 23 tahun lalu.

Muhammad Firdaus menerima anugerah tersebut daripada Raja Permaisuri Agong, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid dengan disaksikan para kenamaan lain termasuk Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd. Khalil Yaakob, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil dan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ali Rostam.

Kolam renang

Bercerita lanjut mengenai kejadian yang berlaku pada 4 Disember 2005 itu, menurut Muhammad Firdaus, ketika itu dia sedang mandi bersama beberapa rakannya di kolam renang kanak-kanak di Rumah Pena, New Strait Times Press Port Dickson, Negeri Sembilan.

“Sedang leka mandi, saya ternampak Muhammad Azri berdiri di tepi kolam renang dewasa dan cuba mencapai pelampung sebelum dia tergelincir ke dalam kolam.

“Sepantas kilat saya berlari dan terjun ke dalam kolam dewasa. Dengan berpaut pada palang besi sedaya upaya saya cuba capai dan menarik rambut Muhammad Azri ke atas,’’ kata anak kedua daripada empat beradik itu yang bercita-cita menjadi saintis.

Walaupun agak cemas, tetapi dia lega kerana dapat mengangkat kanak-kanak tersebut ke atas dan memaklumkan kejadian itu kepada ibu bapa Muhammad Azri yang tidak menyedari anaknya keluar dan berjalan ke arah kolam renang yang terletak di hadapan bilik mereka.

“Selepas kejadian itu, ibu bapa Muhammad Azri datang ke rumah dan mengucapkan terima kasih,’’ katanya

Muhammad Firdaus yang sama sekali tidak menyangka dianugerahkan Pingat Hang Tuah berasa gembira dan bersyukur dengan pemilihan itu.

“Anugerah ini menjadi pendorong kepada saya untuk menjadi insan yang lebih berguna pada masa depan,” katanya.

Sementara itu, sebagai ibu, Asnita Abas, turut bersyukur dan berbangga dengan anugerah yang diterima oleh anak keduanya itu meskipun dia tidak pernah mengharapkan pengiktirafan setinggi itu.

“Tindakan Muhammad Firdaus sekadar untuk menolong mereka yang dalam kesusahan. Ditakdirkan Tuhan dia ada di situ ketika Muhammad Azri terjatuh ke dalam kolam renang dan saya bersyukur kerana anak saya bertindak pantas, kalau tidak tak tahu apa kesudahannya,’’ katanya semasa ditemui pada majlis tersebut.

Bercerita mengenai Muhammad Firdaus, Asnita menganggap anaknya seperti kanak-kanak sebaya yang lain yang suka bermain dan sesekali menunjukkan kenakalannya.

Di sekolah, katanya, Muhammad Firdaus seorang yang aktif dalam persatuan Pengakap dan Bulan Sabit Merah.

“Dia juga suka bersukan. Hampir semua sukan dicubanya termasuklah bola sepak, bola baling, lumba lari dan hoki,’’ katanya.

Hari bersejarah bagi Muhammad Firdaus itu turut dikongsi bersama ayahnya, Harris Abu Talib, 41, serta kakak Siti Fatimah Azzahrah, 16 dan dua adiknya, Nadiah Adibah, 10 dan Muhammad Faiz Haikal, 4.

Sementara itu, penyampaian anugerah Pingat Hang Tuah merupakan sebahagian daripada acara Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia peringkat kebangsaan kali ke-52 anjuran Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat melalui agensinya, Jabatan Kebajikan Masyarakat.

Sempena majlis itu, persembahan koir dan boria diadakan oleh kanak-kanak termasuk acara deklamasi sajak oleh kanak-kanak kurang upaya Mohd. Hafizie Mohd. Fauzie, 11, yang telah mencuri perhatian orang ramai.

Pingat Hang Tuah yang pertama kali diperkenalkan pada 1960 dihidupkan semula untuk menggalakkan sifat-sifat terpuji di kalangan kanak-kanak seperti mementingkan keberanian, kesetiaan, semangat keperwiraan, kepintaran, penyayang, kebijaksanaan dan sanggup berkorban sebagaimana yang dimiliki oleh Laksamana Hang Tuah.

Seramai lapan kanak-kanak di bawah umur 18 tahun disenarai pendek untuk menerima anugerah tersebut. Pemenang menerima wang tunai RM5,000 berserta pingat dan sebuah piala iringan.

Selain Muhammad Firdaus, tiga kategori anugerah turut diberikan iaitu Anugerah Tunas Jaya Kebangsaan yang dimenangi oleh Abdul Rauf Suhaimi dan Wan Nurul Suhaila Wan Ahmad Nasri dari Perak.

Sementara Anugerah Semangat Gemilang pula diberikan kepada Azhar Yahya (Perlis) dan Siti Amalina Awang (Terengganu).

Anugerah Kanak-Kanak Khas diberikan kepada kanak-kanak istimewa yang dibahagikan kepada kategori bermasalah penglihatan, bermasalah pembelajaran, bermasalah pendengaran, terencat akal dan cerebral palsy
……………………………………………………………………………….

Budayakan kerja sukarela
Kehidupan zaman era sains dan teknologi telah banyak membawa perubahan. Boleh dikatakan pada zaman ini tiada lagi yang diberikan secara percuma. Pendek kata segalanya sudah memerlukan wang.

Perkataan `sukarela’ memang sesuatu yang tidak lagi diberi perhatian. Ia diibaratkan sebagai satu aktiviti yang membuang masa. Kenapa perlu bekerja sedangkan tiada ganjaran daripadanya?

Perubahan masa dan modenisasi serta teknologi sedikit sebanyak mengubah struktur kehidupan masyarakat. Bagaimanapun tradisi murni itu masih lagi diamalkan oleh masyarakat kita hingga ke hari ini walaupun cara dan suasananya agak berubah. Walaupun keadaan sedemikian terjadi, kita selaku masyarakat yang prihatin seharusnya melakukan amal jariah dan memupuk kembali semangat kesukarelaan sesama kita tanpa mengira paras rupa mahupun amal kebajikan yang kita lakukan.

Semangat kesukarelaan adalah satu manifestasi jiwa merdeka dan amat bertepatan dengan konsep Islam Hadhari yang menjadi dasar negara. Di mana penyertaan rakyat dalam gerakan kesukarelaan secara langsung menunjukkan mereka berjiwa merdeka dan mampu menyalurkan khidmat bakti secara bebas dan ikhlas tanpa mengharapkan ganjaran mahupun balasan.

Gerakan kesukarelaan ini sebenarnya boleh dilaksanakan secara lebih terarah dan sistematik. Perkara ini penting terutama kepada golongan profesional, agensi-agensi kerajaan, pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan dan orang perseorangan agar mereka mempunyai wadah untuk menabur khidmat bakti mengikut kepakaran masing-masing.

Di sini perlunya kumpulan atau badan sukarelawan khusus yang dianggotai oleh masyarakat daripada pelbagai bidang dan kepakaran. Tidak dinafikan bahawa kita mempunyai badan-badan dan pertubuhan-pertubuhan kebajikan termasuk pasukan beruniform seperti Pengakap, pandu puteri dan bulan sabit merah yang bersedia melaksanakan kerja-kerja sukarela jika diperlukan.

Pada masa yang sama kita juga perlu mempunyai kumpulan sukarelawan terdiri dari pada golongan profesional seperti doktor, peguam, pendidik, jurutera, akauntan, arkitek, pakar agama, ahli korporat dan seumpamanya. Mereka ini sangat penting dan perlu sama-sama menyumbangkan kepakaran masing-masing.

Kita tidak mengatakan selama ini mereka tidak memberikan sumbangan. Mereka mungkin menyumbang melalui agensi-agensi di mana mereka berkhidmat atau di kawasan-kawasan tempat tinggal mereka. Apa yang kita maksudkan ialah secara berkumpulan dan berpersatuan dalam satu wadah khusus Pertubuhan Sukarelawan.

Sebagai contohnya beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terlibat dalam gerakan mencari dan menyelamat serta menghulurkan bantuan seperti Persatuan Bantuan Perubatan Malaysia (Mercy), Special Malaysian Assistance and Rescue Team (Smart), Yayasan Salam, Aman Malaysia dan beberapa pertubuhan lain.

Kita ingin melihat anggota `pertubuhan sukarelawan’ terdiri daripada pakar-pakar dan cendekiawan yang berpengalaman dan berkemahiran di seluruh pelosok negara. Pada bila-bila masa mereka boleh digerakkan dan bersedia membantu memberikan khidmat nasihat dan kepakaran dalam menggerakkan projek-projek kebajikan kepada kumpulan dan individu yang memerlukan. Bukannya hanya terhad di dalam negara malah apa yang sangat disarankan ialah bantuan mereka perlulah merentasi ke sempadan antarabangsa.

Contoh yang terbaru ialah pasukan Smart yang berlepas ke Pakistan baru-baru ini terdiri daripada 25 pegawai dan anggota dalam usaha membantu mencari dan menyelamat mangsa gempa bumi yang sehingga kini telah meragut lebih 20,000 nyawa. Selain pasukan Smart, Pasukan Bantuan Kecemasan Malaysia (Mercy), Pasukan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSM), anggota dari pasukan kecemasan Hospital Kuala Lumpur dan pegawai Bahagian Keselamatan Negara (BKN) turut terlibat dalam operasi ini.

Terlalu banyak yang boleh disumbangkan secara sukarela kepada negara dan masyarakat. Yang penting mungkin mereka memerlukan wadah atau `pasukan’ secara khusus supaya sumbangan dapat dibuat dengan lebih sistematik, terarah dan efektif.

Semangat melibatkan diri dalam kerja-kerja sukarela ini patut dipertingkat dan dibudayakan dalam masyarakat terutama kepada generasi muda agar ia terus berkembang dan sebati dalam diri mereka. Apa yang perlu ditanamkan dalam diri kita ialah menjadikan kegiatan sukarela itu sebagai `amal ibadat’ semata-mata kerana Allah. Jika kesemua ini mampu dilaksanakan maka kita akan dapat melahirkan masyarakat yang bersatu padu serta hidup dalam suasana aman dan sejahtera.

- A. MOHD RAHIMIN SIHAT.

Kuala Lumpur.
……………………………………………………………………………….

Bakau Gadget - SMK St. John bina yang terbesar
Oleh MARKUS LIM

AHLI ESG SMK St. John, Kuala Lumpur bersama-sama sijil Malaysia Book of Records baru-baru ini.
——————————————————————————–

AHLI Pengakap Eagle Scout Group (ESG) dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) St.John, Kuala Lumpur, berjaya memahatkan diri dalam lembaran sejarah sebagai kumpulan pengakap pertama membina struktur bakau terbesar seumpamanya di Malaysia.

Diberi nama Bakau Gadget dengan kepanjangan struktur mencecah 52 meter dan ketinggian 11 meter, segala jerih payah dan keringat ahli pengakap ESG selama 35 hari akhirnya membawa hasil apabila ia diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai struktur bakau terbesar di negara ini.

Majlis penyampaian sijil pengesahan kepada kumpulan pengakap ESG itu disempurnakan oleh wakil kepada Pengarah Urusan MBOR, Datuk Danny Ooi di pejabatnya di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Mewakili pihak ESG dalam majlis ringkas itu ialah Asisten Troop Leader 1, Christy Vicknesraj dan Asisten Troop Leader 2, Mah Wai Loon.

Wai Loon yang ditemui oleh Utusan Malaysia di sekolahnya baru-baru ini memberitahu, sebanyak 500 kayu bakau dan 700 manila hem dibeli dari Klang untuk tujuan itu.

Katanya, kos yang diperlukan untuk membina Bakau Gadget itu dianggarkan berjumlah RM3,500.

Menurut Wai Loon, sebahagian besar kos perbelanjaan membeli kayu-kayu bakau itu ditanggung sendiri oleh ahli-ahli ESG.

Oleh sebab pihak sekolah tidak menyediakan peruntukan kepada ESG, maka ahli-ahli ESG bertindak membuat kerja-kerja sampingan seperti membasuh kereta dan mengecat pagar bagi membiayai projek tersebut.

Peruntukan

“Namun ketiadaan peruntukan kewangan itu tidak mematahkan semangat ahli-ahli ESG untuk merealisasikan impian murni itu,” katanya.

Wai Loon menambah, ilham untuk membina struktur bakau berkenaan timbul sejak tahun lepas lagi.

Katanya, usaha murni itu dibuat kerana pihaknya mahu melakukan sesuatu lain dari yang lain.

Melalui pembinaan Bakau Gadget itu, tegas Wai Loon, ESG bercita-cita menjadi sebuah kumpulan pengakap yang terkenal bukan sahaja di Kuala Lumpur bahkan di seluruh negara.

“Diharapkan dengan pembinaan struktur bakau terbesar, ia akan menjadi pemangkin kepada generasi pengakap SMK St. John’s akan datang untuk meningkatkan komitmen mereka kepada ESG,” katanya.

Pada masa yang sama, Wai Loon menjelaskan, kejayaan ESG membina Bakau Gadget terbesar tidak akan berjaya tanpa sokongan dan kerjasama kalangan ahli pengakap yang lain.

Sepanjang tempoh tujuh minggu lalu, komitmen yang diberikan oleh ahli pengakap ESG untuk menjayakan pembinaan Bakau Gadget sangat positif dan memberangsangkan.

Komitmen jitu itu jelas terbukti apabila kebanyakan ahli ESG sanggup berhujan dan berpanas enam jam setiap hari semata-mata untuk menyiapkan projek besar itu.

Bagaimanapun, di sebalik kejayaan tersebut, Christy Vicknesraj mengakui usaha membina struktur bakau sukar pada peringkat awalnya.

Masalah cuaca yang tidak menentu, menurut Vicknesraj, adalah penghalang utama kepada pihaknya untuk menyiapkan pembinaan dengan lebih awal.

“Setiap kali apabila hujan turun, kami terpaksa menghentikan kerja-kerja pembinaan.

Namun disebabkan masa semakin suntuk, ada ahli ESG yang terpaksa meneruskan pembinaan struktur bakau itu walaupun tahu bahaya mungkin menimpa,” tambahnya.

Ketika ditanya mengenai perancangan ESG selanjutnya, Vicknesraj berkata, ahli-ahli ESG SMK St.John akan cuba membina sebuah lagi struktur bakau yang lebih tinggi dalam tempoh dua atau tiga tahun akan datang.

Justeru, menurutnya, ahli-ahli ESG akan membuat persiapan dari sekarang bagi memastikan rekod tersebut kekal di tangan ESG SMK St. John.
……………………………………………………………………………….

Bookmark Artikel Ini: These icons link to social bookmarking sites where readers can share and discover new web pages.
  • Technorati
  • e-mail
  • YahooMyWeb
  • Google
  • De.lirio.us
  • Live
  • Socialogs
  • PopCurrent
  • feedmelinks
  • Furl
Koleksi Video
Perkhemahan Ujian Rambu Daerah
Robert Stephenson Smyth Baden-Powell

Tags:   · 1 Comment

Tinggalkan Komen atau Pandangan Anda

1 response so far ↓

  • Salam Pengakap. dari kami Pengakap Kelana (K) Daerah Kubang Pasu Kedah. Semoga dapat merapatkan hubungan dan memajukan lagi pergerakan pengakap di Negeri Kedah Darul Aman